Tuesday, December 15, 2009

KENALI PEMBIMBING RAKAN SISWA POLITEKNIK (PRSP)

APA ITU PRS?
Pembimbing Rakan Siswa membawa pengertian yang sama dengan kaunselor siswa, pembimbing siswa atau pembantu pelajar.

Zuraidah (1988), mendefinisikan PRS sebagai pelajar yang dilatih dalm bidang kemahiran asas komunikasi dan menolong. Pelajar berfungsi sebagai rakan berkesan kepada rakan sebaya terutama bagi mereka yang memerlukan pertolongan. PRS tidak bertugas memberi nasihat ataupun menyelesaikan masalah rakan-rakan tetapi mereka menjadi pendengar yang peka kepada perasaan orang lain, berminat dan mengambil berat, sedia serta rela memberi khidmat kepada sistem universiti.

MATLAMAT PRS
PRS mempunyai matlamat murni dalam membantu pelajar menghadapi cabaran dan masalah pada peringkat remaja. Antara matlamatnya adalah:
· Menolong pihak universiti mengurangkan masalah salah laku disiplin dalam kalangan siswa universiti.
· Membina budaya kasih mesra dan bantu-membantu dalam kalangan siswa universiti.
· Membentuk budaya menghormati pensyarah, rakan-rakan dan orang lain dalam latar universiti ataupun luar universiti.
· Membantu pelajar membina keyakinan diri
· Mengamalkan nilai-nilai murni berasaskan Rukun Negara dan patuh kepada perintah agama.
· Memupuk remaja menjadi seorang yang stabil, bertimbang rasa, bersedia dan rela menolong individu lain.
· PRS diharapkan menjadi individu yang dapat hidup dalam masyarakat yang majmuk iaitu memahami, menerima dan mengamalkan sikap toleransi pada orang lain.

FUNGSI PRS
PRS mempunyai fungsi serta kegunaannya yang tersendiri dalam memenuhi matlamat PRS iaitu:
· Sebagai ‘kawan yang berkesan’ dan juga sebagai saluran tidak formal bagi kawan-kawan mencurahkan perasaan mereka.
· Sebagai ‘peninjau rasa’ rakan-rakan bagi memudahkan Ketua Unit Kaunseling dan Psikologi melaksanakan program-program yang bercorak perkembangan kendiri, menghalang dan intervensi krisis.
· Menjadi ‘penghubung’ kepada perkhidmatan kaunseling dan psikologi apabila difikirkan perlu bagi kes-kes yang memerlukan rujukan.

SIAPA PRS
Dua kategori pelajar ataupun gabungan kedua-duanya iaitu :

1. Kumpulan pelajar yang baik terdiri daripada mereka yang :
· Mempunyai pencapaian akademik yang baik.
· Berminat menolong orang lain.
· Memiliki ciri-ciri personaliti yang stabil.
· Mengamalkan sikap dan pemikiran yang positif.
· Memiliki latar belakang kehidupan yang stabil.

2. Kumpulan pelajar yang kurang berkesan pula adalah seperti berikut :
· Kerap melakukan salah laku disiplin.
· Kelompok kumpulan kecil yang tidak formal tetapi mereka mempunyai pengaruh dan berpotensi bertingkah laku negatif.
· Lemah dalam pengurusan diri.
· Mempunyai motivasi diri yang rendah.

ETIKA PRS
Terdapat beberapa etika dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh ahli PRS. Antaranya adalah :
· Amanah iaitu menjaga kerahsiaan. Menyimpan rahsia adalah etika PRS yang penting dan perlu diberikan keutamaan.
· Menghormati hak rakan-rakan yang berkongsi perasaan dan menerima rakan-rakan tanpa prasangka ataupun membuat anggapan secara umum iaitu penerimaan rakan tanpa syarat.
· Memberi pertolongan dengan jujur dan memahami batasan diri.
· Menghormati sekatan agama, peraturan universiti, norma-norma masyarakat dan budaya setempat.
· Menyedari batas kemampuan diri dan bertindak merujuk kes yang sukar ditolong (krisis) kepada Pegawai Psikologi ataupun pegawai-pegawai lain.

MOTTO PRS
Terdapat dua moto utama dalam PRS iaitu :
· ‘Bantu diri dan rakan-rakan’
· ‘Membantu diri bagi membantu orang lain’
· ‘Bina Diri, Bantu Rakan’

PENGERTIAN MOTTO
PRS perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dapat meningkatkan potensi diri. Setelah itu, baru PRS membantu rakan-rakan yang lain supaya rakan-rakan yang lain dapat mencapai dan menikmati apa yang diperoleh dan dialami oleh PRS.

No comments:

Post a Comment